Kenyataan media oleh Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Alor Setar isu gambar pemimpin dibiadapi.
1. Isu gambar Perdana Menteri dipijak telah mendapat liputan meluas
oleh media dan perhatian oleh pihak polis apabila siasatan telah
dimulakan terhadap isu tersebut. Pemuda PAS Alor Setar merasakan
perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan kerana boleh mencetuskan
suasana ketidaktenteraman di kalangan masyarakat di negara ini.
2. Bagaimanapun Pemuda PAS Alor Setar merasa pelik mengapa hanya
apabila gambar Perdana Menteri dipijak, isu tersebut diperbesarkan
tetapi sewaktu gambar Menteri Besar Kelantan (YAB Tuan Guru Dato’ Nik
Abd Aziz Nik Mat) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (YAB Lim Guan Eng)
dikencing, isu tersebut tidak difokuskan oleh media serta diambil
tindakan oleh pihak berkuasa.
3. Menteri Besar dan Ketua Menteri juga adalah pemimpin kerajaan
negeri, seperti juga Perdana Menteri merupakan pemimpin kerajaan Pusat;
justeru mereka mesti dihormati. Mereka dipilih oleh rakyat dan mendapat
perkenan Sultan atau Yang DiPertuan Agong. Melakukan perbuatan biadap
terhadap gambar ketua kerajaan samalah seperti tidak menghormati rakyat
serta derhaka kepada raja-raja.
4. Pemuda PAS Alor Setar mendesak supaya tindakan biadap terhadap
pemimpin-pemimpin utama kerajaan ini dilakukan secara menyeluruh
(Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri) dan tidak terhad
kepada Perdana Menteri semata-mata.
5. Dalam gambar ini juga kelihatan YB Datuk Seri Abd Hadi Awang
(Presiden PAS) dan YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP) juga dikencing.
Perkara ini juga perlu disiasat dan diambil tindakan oleh pihak polis
kerana mereka adalah pemimpin dua buah parti politik utama dalam negara
yang mempunyai ramai ahli, justeru perbuatan biadap yang dilakukan
seolah-olah satu provokasi untuk mencetuskan huru hara.
Sekian, Terima Kasih.




